Sejarah perkembangan komputer boleh dibahagikan kepada dua zaman yaitu:
a) Sebelum tahun 1940
b) Selepas tahun 1940
Sebelum tahun 1940
Manusia menggunakan jari untuk mengenali dan membilang nomor satu hingga
sepuluh. Selepas itu mereka mula mengenali nomor-nomor yang lebih
besar tetapi masih menggunakan digit-digit asas dari 0 hingga 9. Ini
mewujudkan sistem nomor perpuluhan. Jari-jari digunakan untuk campur
dan tolak nomor. Campur tolak nomor-nomor membantu mereka mengira
dalam perniagaan barter. Apabila perniagaan semakin berkembang,
jari-jari tidak dapat menampung keperluan pengiraan yang bertambah
rumit.
Ahli-ahli perniagaan dari negeri China, Turki dan Yunani menggunakan
abakus (sempua) untuk melakukan pengiraan asas campur, tolak dan darab
bermula beribu tahun lepas. Abakus mengandungi batu-batu yang dipasang
pada beberapa bar. Semua pengiraan dilakukan dengan mengubah
kedudukan batu-batu itu.
Pada tahun 1617, John Napier mengemukakan sifir logaritma dan alat
dipanggil tulang Napier (Napier’s bones). Di samping pengiraan asas
campur, tolak, darab dan bahagi, alat ini juga boleh mencari punca kuasa
nomor. Tulang Napier diperbuat daripada tulang, kayu, logam dan
kad. Pengiraan dilakukan dengan menyilang nomor-nomor pada segiempat
dengan tangan.
Blaise Pascal mencipta mesin kira mekanikal pertama pada tahun 1642.
Mesin ini beroperasi dengan menggerakkan gear pada roda. Pascal juga
telah banyak menyumbang idea dalam bidang matematik dan ilmu
kebarangkalian. Mesin kira Pascal telah dimajukan oleh William
Leibnitz.
Pada tahun 1816, Charles Babbage membina ‘the difference engine’.
Mesin ini boleh menyelesaikan masalah pengiraan sifir matematik seperti
logaritma secara mekanikal dengan tepat sehingga dua puluh digit.
Mengikut draf yang dicadangkannya, mesin ini menggunakan kad tebuk
sebagai input, boleh menyimpan kerja-kerja sebagai ingatan, melakukan
pengiraan secara otomatik dan seterusnya mengeluarkan output dalam
bentuk cetakan pada kertas.
Konsep mesin ini memeranjatkan ahli-ahli sains pada masa itu kerana
dianggap terlalu maju. Projek pembinaan ini walau bagaimanapun
terbengkalai kerana ketiadaan sokongan teknikal yang dianggap terlalu
maju pada masa tersebut. Babbage kemudian menumpukan perhatiannya
kepada ‘the analytical engine’. Kekurangan teknologi pada masa tersebut
juga menyebabkan projek ini ditangguhkan. Walaupun gagal menyiapkan
kedua-dua mesin, idea Babbage didapati amat berguna kepada pembentukan
komputer moden pada hari ini. Semua komputer pada hari ini
menggunakan model mesin seperti yang dicadangkan oleh Babbage, iaitu
input, ingatan, pemprosesan dan output.
Kad tebuk pertama kali digunakan sebagai alat input dalam industri
tekstil pada mesin penenunan otomatik ciptaan Joseph Jecquard pada
tahun 1801. Mesin ini membaca data dengan mengenalisa kod-kod lubang
pada kertas. Konsep lubang dan tiada lubang ini menandakan permulaan
penggunaan nomor binari dalam pemprosesan data.
Herman Hollerith mempopularkan penggunaan kad tebuk sebagai alat input
data. Mesinnya yang menggunakan kad tebuk berjaya memproses data untuk
membanci penduduk Amerika Syarikat pada tahun 1887. Penggunaan kad
tebuk kemudiannya diperluaskan kepada bidang-bidang seperti insuran,
analisa jualan dan sistem akuan kereta.
Howard Aiken memperkenalkan penggunaan mesin elektromakenikal dipanggil
Mark I pada tahun 1937. Satu bahagian mesin ini adalah elektronik dan
sebahagian lagi mekanikal. Bentuknya besar dan berat serta mengandungi
talian wayer yang panjang. Semua operasi di dalam komputer
dijalankan oleh geganti elektromagnetik. Mark I boleh menyelesaikan
masalah fungsi-fungsi trigonometri di samping pengiraan asas.
Sungguhpun demikian ia masih dianggap lembab dan terhad oleh kerana
jumlah storan ingatan yang sedikit.
Komputer-komputer selepas tahun 1940 adalah elektronik sepenuhnya. Di
samping pengiraan yang kurang tepat mesin-mesin mekanikal sebelum ini
adalah terlalu besar, menggunakan kos yang tinggi untuk mengendalikannya
dan memerlukan terlalu banyak tenaga manusia untuk pengawasan.
Evolusi komputer selepas tahun 1940 boleh dikelaskan kepada lima generasi.
Generasi Pertama (1940 – 1959)
Generasi Kedua (1959 -1964)
Generasi Ketiga (1964 – awal 80-an)
Generasi Keempat (awal 80-an – ?)
Generasi Kelima (masa depan)
Generasi Pertama
Komputer-komputer generasi pertama menggunakan tiub-tiub vakum untuk
memproses dan menyimpan maklumat. Tiub vakum berukuran seperti mentol
lampu kecil. Ia menjadi cepat panas dan mudah terbakar. Beribu-ribu
tiub vakum diperlukan pada satu masa supaya setiap yang terbakar tidak
menjejaskan operasi keseluruhan komputer. Komputer juga menggunakan
tenaga elektrik yang banyak sehingga kadang-kadang menyebabkan gangguan
pada kawasan sekelilingnya.
Komputer ini adalah 100% elektronik, berfungsi untuk membantu ahli
sains menyelesaikan masalah pengiraan trajektori dengan pantas dan
tepat. Saiznya amat besar dan boleh dikelaskan sebagai kerangka utama
(main frame) . Contoh komputer generasi pertama seperti ENIAC
(Electronic Numerical Integrator And Calculator) dicipta oleh Dr John
Mauchly dan Presper Eckert pada tahun 1946.
Perkembangan yang paling dihargai ialah permulaan komputer menyimpan
ingatan di dalamnya, dikenali sebagai konsep aturcara tersimpan (stored
program concept). Konsep yang dicadangkan oleh John von Neumann ini
juga menitikberatkan penggunaan nomor binari untuk semua
tugas pemprosesan dan storan.
Dr. Mauchly dan Eckert juga membantu pembinaan komputer EDVAC
(Electronic Discrete Variable Automatic Computer) yang mengurangkan
penggunaan tiub-tiub vakum. Pengiraan juga menjadi lebih cekap
daripada ENIAC. EDVAC menggunakan sistem nomor binari dan konsep
aturcara tersimpan.
Komputer EDSAC (Electronic Delay Storage Automatic Calculator)
memperkenalkan penggunaan raksa (merkuri) dalam tiub untuk menyimpan
ingatan. Cara ini didapati lebih ekonomi daripada tiub vakum tetapi
pada amnya ia masih dianggap terlalu mahal. EDSAC dimajukan oleh
Unviersiti Cambridge, England.
Pada tahun 1951 Dr. Mauchly dan Eckert mencipta UNIVAC I (Universal
Automatic Calculator) komputer pertama yang digunakan untuk memproses
data perniagaan. Turut menggunakan tiub raksa (merkuri) untuk storan.
UNIVAC I digunakan oleh Biro Banci Penduduk Amerika Syarikat.
Selepas kejayaan ENIVAC I banyak komputer-komputer berkaitan pengurusan
dan perniagaan muncul selepasnya.
Genarasi kedua
Komputer-komputer genarasi kedua menggunakan transistor dan diod untuk
menggantikan tiub-tiub vakum, menjadikan saiz komputer lebih kecil dan
murah. Daya ketahanan transistor didapati lebih baik kerana ia tidak
mudah terbakar jika dibandingkan dengan tiub vakum. Cara baru menyimpan
ingatan juga diperkenalkan iaitu teras magnetik. Teras magnetik
menggunakan besi-besi halus yang dililit oleh litaran elektrik.
Keupayaan pemprosesan dan saiz ingatan utama komputer juga bertambah.
Ini menjadi komputer lebih pantas menjalankan tugasnya.
Kemunculan FORTRAN dan COBOL menandakan permulaan bahasa peringkat
tinggi untuk menggantikan pengaturcaraan dalam bahasa mesin yang lebih
sukar. Dengan yang demikian pengendalian komputer menjadi lebih mudah.
Era ini juga menandakan permulaan minikomputer iaitu yang kedua
terbesar dalam famili komputer. Harganya lebih murah berbanding
daripada kerangka utama. Komputer DEC PDP- 8 ialah minikomputer
pertama dicipta pada tahun 1964 bagi memproses data-data perniagaan.
Lain-lain komputer dalam generasi ini ialah IBM 7090 dan IBM 7094.
Generasi ketiga
Penyelidikan mikroelektronik yang pesat berjaya menghaluskan transistor
kepada saiz mikroskopik. Beberapa ratus ribu transistor ini dapat
dipadatkan ke dalam kepingan segiempat silikon melalui proses yang
dipanggil pengamiran skala besar (large scale integration, LSI), untuk
menghasilkan litar terkamir atau lebih dikenali dengan panggilan cip.
Chip mulai menggantikan transistor sebagai bahan logik komputer.
Saiz cip yang kecil menjadikannya popular digunkan dalam kebanyakan alat
elektronik dan harganya jauh lebih murah berbanding dengan komponen
elektronik yang lain.
Jenis terkecil dalam famili komputer, mikrokomputer muncul dalam
generasi ini. Mikrokomputer menjadi lebih cepat popular seperti
jenama Apple II, IBM PC, NEC PC dan Sinclair. Mikrokomputer didapati
amat praktikal kepada semua peringkat masyarakat kerana saiznya lebih
kecil, harga yang murah dan kebolehannya berfungsi bersendirian. Sebuah
mikrokomputer berupaya mengatasi komputer ENIAC dalam menjalankan
sesuatu tugas.
Banyak bahasa pengaturcaraan muncul seperti BASIC, Pascal dan PL/1.
Kebanyakan mikrokomputer dibekalkan dengan pentafsir bahasa secara
bina-dalam di dalam cip ROM untuk membolehkan bahasa BASIC digunakan.
Ini menjadikan BASIC bahasa pengaturcaraan yang paling popular pada
mikrokomputer.
Generasi keempat
Cip masih digunakan untuk pemprosesan dan menyimpan ingatan. Ia lebih
maju, mengandungi sehingga beratus ribu komponen transistor didalamnya.
Proses pembuatan cip teknologi tinggi ini dipanggil pengamiran skala
amat besar (very large scale integration, VLSI). Pemprosesan dapat
dilakukan dengan lebih pantas, sehingga berjuta bit sesaat. Ingatan
utama komputer menjadi lebih besar sehingga menyebabkan storan skunder
kurang penting. Teknologi cip yang maju ini mendekatkan jurang di
antara mikrokomputer dengan minikomputer dan juga mikrokomputer dengan
kerangka utama. Ini juga mewujudkan satu lagi kelas komputer dipanggil
superkomputer, yang lebih pantas dan cekap berbanding kerangka utama.
Generasi kelima
Generasi kelima dalam siri evolusi komputer mungkin belum wujud lagi dan
ia merupakan komputer impian masa depan. Rekabentuk komputer generasi
kelima adalah lebih kompleks. Ia dijangka mempunyai lebih banyak unit
pemproses yang berfungsi serentak untuk menyelesaikan lebih daripada
satu tugas dalam satu masa.
Komputer generasi ini juga mempunyai ingatan yang amat besar supaya
membolehkannya menyelesaikan lebih banyak masalah yang kompleks. Unit
pemprosesan pusat juga mungkin boleh berfungsi kepada paras seperti otak
manusia. Komputer impian ini dijangka mempunyai kepandaian tersendiri,
mengesan keadaan sekeliling melalui pengelihatan dan bijak mengambil
sesuatu keputusan bebas daripada kawalan manusia. Sifat luar biasa ini
disebut sebagai “artificial intelligence”.